kebelakangan ini ku tidak pasti jiwaku di mana. setiap insan dilahirkan bersama jiwanya yang takkan hilang melainkan dia meninggalkan dunia ini; di mana jiwanya akan masih berada. tetapi . . . mana perginya jiwaku yang lalai ini? berminggu-minggu kucari hinggakan ke hari ini, tapi masih tidak dijumpai. kegagalan secara betubi-tubi begini membawaku kepada sebuah kebetulan indah yang konklusinya tiada berkesudahan.

kata orang binatang kuat intuisinya, maka intuisilah yang kucuba uji malam yang sunyi sepi ini. mungkin kerna sudah cukup yang kedengaran, mungkin juga sudah cukup yang boleh diperkatakan. kulantar tubuhku yang penuh kekosongan di atas lantai jubin keras, sejuk, dan selesa dalam cara yang teramat ironis. seekor kucing seputih awan sedang bersantai mengikut ideaku. atau mungkinku mengikut ideanya. siapa tahu?

bila tibanya jalan buntu sebuah kisah atau dua, waktu kawan-kawan terbaikmu kadang kala ‘hilang’ entah ke mana walaupun mereka hanya di sana, ku berpaling tadah menghadapi beruang mainan, atau dalam kes ini, si kucing. kupandang terus ke dalam mata guli birunya, cuba menangkap fokus yang sesombong merak tanpa melafazkan sebarang nama-nama samaran manja.

pandangan si kucing cantik yang berkeliaran tiba-tiba bertukar menjadi kuyu, kuyu sekuyu hatiku. hatiku berbisik kepadanya, “oi kucing, tahukah kamu betapa sedihnya aku di sebalik senyuman yang kuperjuangkan hari demi hari ini?” si kucing menutup pasangan matanya lalu dibukanya perlahan-lahan sambil menghasilkan bunyi “meow” yang penuh perasaan simpati. beberapa minit berlalu dan begitulah berbualan kita antara insan dan haiwan bermula. isi kandungannya kita janji untuk kekalkan sebagai rahsia kita berdua. itukah kuasa intuisi yang sering kami hiraukan dalam era globalisasi hari ini?

biasanya, si kucing akan melarikan diri bila kucuba mendakapnya dengan perasaan sayang yang teramat sangat. tetapi kali ini, lain ceritanya. gadis seratus kisah sedang membelai kucing putih yang seolah-olah memahaminya lebih daripada setiap insan lain yang telah bertahun-tahun kenalannya. badannya yang hangat memanaskan tubuhku yang sebelumnya sesejuk mayat. jiwa kucing bersama jiwa manusia menari bersama tanpa kenal erti penat lelah. tetapi, si kucing sedar akan badanku yang kehabisan batinnya, maka dilarinya kesahabatan kami bersama ekornya buat sementara waktu.

saat-saat beginilah yang menghampiri diri kami kepada kebenaran tentang diri kami sendiri, dan kenalan yang gemar kami labelkan dengan gelaran-gelaran hiasan yang secara amnya terlebih nilainya daripada qualitinya yang sebenar. walaupun si kucing tidak mampu berkata apa-apa, kusedar betapa pentingnya untuk kami mencipta hubungan sejati dengan kehidupan yang wujud dalam acuan bukan manusia di hayat ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *